Hukuman Mati Bekas Anggota Polis Dikekalkan
Putrajaya – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang bekas konstabel polis kerana membunuh seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan pengasuhnya hampir 12 tahun lepas.
Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop dalam keputusan sebulat suaranya memutuskan bahawa berdasarkan keterangan, mahkamah mendapati bahawa sabitan kesalahan Mohd Nahar Abu Bakar adalah selamat.
Mahkamah itu menolak rayuan Mohd Nahar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Okt 2010 yang mendapatinya bersalah kerana membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, 2, anak kepada bekas setiausaha bahagian UMNO Klang Shohimi Shafie, dan pengasuhnya Siti Rohana Baharom, 34.
“Rayuan ini tidak mempunyai merit. Berdasarkan keterangan yang diberi, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat apabila mendapatinya (Mohd Nahar) bersalah terhadap tuduhan membunuh,” kata Ahmad.
Mohd Nahar, 39, yang pernah bertugas di balai polis Kampung Baru, Manjung, Perak, dituduh melakukan pembunuhan itu di flat kos rendah Siti Rohana di Bandar Baru Klang, Klang pada 1 tengah hari 30 Dis 2003.
Mohd Nahar mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan setelah cubaannya untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadapnya ditolak Mahkamah Rayuan pada 3 Jan 2013.
Anak perempuan teman wanita Mohd Nahar, yang berusia lapan tahun ketika kejadian itu berlaku, memberitahu mahkamah bahawa dia melihat Mohd Nahar mencekik dan menikam dada Siti Rohana sebelum melarikan diri. Saksi itu berusia 15 tahun ketika memberi keterangan di mahkamah.
Ibu remaja itu dan suami Siti Rohana adalah sepupu. Bagaimanapun, dia dijaga Siti Rohana dan suaminya sejak dilahirkan.
Bedah siasat mendapati terdapat dua kesan tikaman pada tubuh Siti Rohana, yang menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan kematiannya, manakala, Muhammad Nurosama, yang didukung Siti Rohana dan menangis ketika kejadian, ditikam dua kali dari belakang. Kedua-dua mereka ditikam dengan sebilah pisau rambo.
Dalam keterangannya, teman wanita Mohd Nahar berkata dia ternampak kesan darah pada bahagian kanan baju putih Mohd Nahar dan diberitahu oleh perayu bahawa tangannya mengalami kecederaan.
Dalam keterangannya, Mohd Nahar berkata tangannya cedera ketika cuba meleraikan rakannya yang bergaduh kerana hutang.
Mohd Nahar diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala timbalan pendakwa raya K. Mangai mewakili pihak pendakwaan, lapor Bernama.
No comments