• Semasa

    Makmum Masbuk Berimamkan Imam Solat Jamak

    solat-berjemaah
    Soalan:
    Assalaamualaikum Ustaz. Jika imam sedang solat jamak takdim Zohor dan Asar dan telah selesai solat Zohor, kini dalam solat Asar. Ketika itu makmum masuk jemaah solat jamak takdim itu maka adakah makmum perlu sembahyang jamak Asar seperti imam ataupun Zohor?
    Terima Kasih
    Jawapan:
    Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdr AHelmi dengan kadar yang termampu, Insyaallah.
    Persoalan di atas menyentuh dua hukum di dalam solat berjemaah:
    1. Syarat solat Jama’ Taqdim – Mazhab Hanbali dan Syafie mensyaratkan tertib didalam menunaikan solat pertama dan yang kedua sebagai syarat didalam Solat Jamak Taqdim. Maknanya solat pertama (Zohor atau Maghrib) mesti didahulukan dan dikuti dengan solat kedua (Asar atau Isya’). Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily, salah satu syarat jamak al-Taqdim ialah:
      الترتيب أي البُداءة بالأولى صاحبة الوقت : وهو أن يقدم الأولى، ثم يصلي الثانية، لأن الوقت للأولى، وإنما يفعل الثانية تبعاً للأولى، فلابد من تقديم المتبوع، فلو صلاهما مبتدئاً بالأولى، فبان فسادها بفوات شرط أو ركن، فسدت الثانية أيضاً، لانتفاء شرطها من البداءة بالأولى، ولكن تنعقد الثانية نافلة على الصحيح
      “Tertib, iaitu memulakan solat yang pertama didalam waktu itu, kemudian diikuti dengan solat yang kedua, kerana sesungguhnya ia adalah didalam waktu solat pertama, maka mesti didahulukan solat yang diikuti. Kerana itu jika dilakukan solat kedua-duanya dengan mendahulukan solat yang pertama, tiba-tiba solatnya yang pertama batal akibat tidak sempurna syarat atau rukunnya, maka terbatallah solat kedua juga, kerana syarat solat yang kedua tidak sempurna sejak bermula baginya, iaitu solat pertama. akan tetapi solat kedua akan menjadi solat sunat menurut pandangan yang sahih” – [Al-Fiqh Al-Islami, 1/355]
    2. Persamaan cara-cara solat Imam dan makmum – Mazhab Syafie meletakkan syarat paling longgar didalam persoalan persamaan cara solat Imam dan Makmum. Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily dengan memetik padangan Imam al-Syafie dari buku Mughni al-Muhtaaj berkata :-
      واكتفى الشافعية باشتراط توافق نظم صلاتي الإمام والمقتدي، فإن اختلف نظم صلاتيها كصلاة مكتوبة وصلاة كسوف، أو مكتوبة وصلاة جنازة، لم تصح القدوة فيها على الصحيح؛ لتعذر المتابعة باختلاف فعلهما.
      “Al-Syafie mensyaratkan bahawa sistem solat makmum dan Imam mesti yang dipersetujui/sistem yang sama, maka jika berbeza sistem solatnya seperti solat wajib dan solat gerhana, atau solat wajib dan solat Jenazah, tidaklah sah ikutan/qudwahnya (kedua-dua solat ini) menurut pandangan yang sahih, adalah tidak boleh mengikuti yang berbeza cara/amalan (berlainan perbuatan) kedua-duanya”-[al-Fiqh al-Islami 2/237]
      Mazhab Syafie membenarkan makmum yang bersolat tunai mengikuti Imam bersolat sunat. Begitu juga sah orang yang bersolat Asar mengikuti orang yang bersolat Zohor dan sebaliknya. Mazhab Hanbali meletakkan syarat bahawa persamaan Imam dan Makmum hendaklah pada jenis fardu dari aspek masa dan namanya. Maka menurut Mazhab Hanbali orang yang solat Zohor tidak sah berimamkan orang yang bersolat Asar. Mazhab Maliki pula meletakkan syarat bersamaan pada zat solat. Tidak sah solat Zohor berimamkan orang solat Asar, dan tidak sah solat tunai berimamkan solat qada, kerana tidak bersamaan dari segi sifat.
      Berdasar dua syarat yang dinyatakan diatas, menurut Mazhab Syafie, anda hendaklah bersolat secara tertib (mendahulukan solat yang pertama, iaitu Zohor), iaitu bersolat qasar Zohor yang berimamkan Imam yang bersolat qasar Asar. Ini adalah kerana kaedah 2 solat ini adalah serupa. Kemudian barulah menunaikan solat Qasar Asar berdasarkan syarat tertib Jamak Taqdim. WA.
    wassalam
    ==========
    Rujukan :
    1. Dr Wahbah Zuhaily. al-Fiqh al-Islami wa adilatuhu – 2. cetakan ke 3. Damsyik : dar al-Fikr, 1989.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad