• Semasa

    SAYU !! "Saya Mencuri Sebab Anak Lapar..." - Pengakuan Jujur Wanita Ini...



    SEREMBAN - Seorang wanita tidak dapat menahan air mata apabila dia dibebaskan dengan bon berkelakuan baik kerana mencuri, oleh Mahkamah Majistret Seremban, semalam, lapor Sinar Harian

    Nor Farina Che Ya, 38, yang tidak diwakili oleh peguam itu dikenakan bon berkelakuan baik selama 2 tahun dengan cagaran RM1,500 tanpa penjamin. 

    Keputusan itu dibuat setelah Majistret Rahimah Rahim mendengar rayuan Nor Farina. 

    Nor Farina mengaku melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya sekitar jam 6 petang, 5 Ogos lalu. Barang-barang yang dicuri adalah seperti daun kunyit, daun pandan, serai, daging kambing, syampu rambut, minyak angin, pakaian dalam, seluar dan tudung yang semuanya dianggarkan bernilai sebanyak RM262.86. 

    Jika mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, hukuman paling maksima yang diperuntukkan adalah 10 tahun penjara dan denda. Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dihukum penjara, denda atau sebatan. 

    Menurut Nor Farina, dia menghidap diabetes kronik dan mempunyai anak perempuan berusia 10 tahun yang menghidap penyakit hipoglisemia. Dia menyara kehidupan mereka dengan mengutip dan menjual kotak serta barang lusuh. 

    Meskipun menerima bantuan RM150 setiap bulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung hidup mereka berdua. Dia juga pernah memohon bantuan Baitulmal tetapi tidak berhasil. 

    Menjelaskan tindakannya mencuri itu, dia terpaksa mencuri kerana terlalu terdesak. 

    "Saya nak buat rendang, saya curi daging, serai sebab tak mampu. Saya nekad melakukannya walaupun sedar tindakan itu berdosa dalam Islam dan salah di sisi undang-undang, namun saya tertekan dengan desakan hidup. 

    "Memang masa buat saya tak fikir apa-apa. Saya cuma fikir perut anak yang lapar. Saya kata pada diri, biarlah saya menanggung dosanya. Apa saya mampu bayar hanyalah beras pulut yang harganya RM5 lebih. 

    "Macam pakaian itu, saya teringin sangat nak merasa. Bukan untuk saya saja tetapi untuk anak juga. Saya ambil tudung," katanya sambil mengalirkan air mata ketika mengingat kembali tindakannya mencuri di sebuah pasar raya. 

    Ekoran itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata, pihaknya akan menghantar pegawai untuk menyiasat situasi Nor Farina sebelum mempertimbangkan permintaannya. Pihaknya juga akan membuat semakan bagi memastikan kesahihan dakwaan Nor Farina berhubung permohonan bantuan Baitulmal.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad