• Semasa

    SAYU !! “Time of death, 7.06pm” – Ibu Redha ‘Permergian’ Bayinya



    Sebelum ini kami pernah kongsikan sebuah coretan sayu daripada ayah kepada bayinya yang mengalami masalah saluran pernafasan. Amat mendukacitakan, adik Muhammad Uwais telah kembali kepada-Nya.
    Kami serta merta menitiskan air mata setelah membaca luahan pilu daripada seorang ibunya pula, detik-detik yang mereka lalui dengan penuh kesabaran diakhiri dengan cara yang memeritkan.
    Semoga ibu bapa ini tabah dan kuat!. Al-Fatihah.

    Sayang,
    Dua hari sudah bila Ummi pam susu, Ummi fikir susu itu nanti akan mengenyangkanmu. Hari ini, susu ini sudah tidak ada tuannya. Ummi pam lagi, tapi susu ini sudah tiada tuannya. Ummi pam lagi, tapi susu ini sudah tiada tuannya.
    Sayang,
    Ummi fikir di hujung perbatuan perjalanan panjang ini, Ummi akan duduk menghadap langit bersama tertawa denganmu. Semalam, di hujung perbatuan Ummi melihat kamu didakap bumi. Damailah sayang, Allah memelukmu erat bahkan lebih erat dari pelukan Ummi yang cuma beberapa kali.
    Sayang,
    Ummi fikir ada satu waktu Ummi akan potong kukumu dan cukur rambutmu. Rupanya Allah hantar dan ambilmu tanpa ada terkurang sedikitpun. Ummi fikir, akan ada waktu kita bermain bersama, rupanya kamu Sang Wildan yang akan bermain di syurga.
    Sayang,
    Mendengar setiap satu kata doktor, mencarik lumat hati Ummi. Membaca semua analisamu bagai jantung Ummi tertusuk duri. Masih terngiang bunyi detik mesinmu, masih terbau bauan ICU, masih panas kejap genggam tanganmu, masih teringat waktu-waktu Abi dan Ummi menunggu di luar dan minta kebenaran masuk. Masih teringat waktu Abi dan Ummi tinggalkan Along dan Angah di luar untuk berjumpa doktor.

    “Sayang, Ummi redha kalau kamu mahu pergi”

    Sayang,
    Hari pertama oksigenmu turun, hati Ummi sudah terdetik. Bersangka baik dengan aturan Allah tapi Ummi redha kalau kamu mahu pergi. Petangnya, oksigenmu masih sama. Setiap detik Ummi teringatkanmu, terjaga dari lena teringatkanmu. Doa Ummi sentiasa untukmu. Harapan Ummi tidak padam, tapi Ummi redha semua kemungkinan.
    Sayang,
    Doktor tunjuk analisa darahmu. Sayang, Ummi adalah Ummi yang membaca analisa dengan tahu. Tapi Ummi adalah Ummi, pedih sayang. Pedih sekali hati ini. Doktor tunjuk oksigen darahmu turun, karbon dioksida naik, lactatemu naik dan darahmu jadi berasid. Ubat untuk kuatkan jantung sudah dipasang kembali. Ubat untuk keluarkan kencing sudah diberi. Nutrisi dan ubat sudah diberi tapi yang keluarnya sikit sekali. Tiada apa lagi usaha, dialisis perlu dilakukan untuk keluarkan air dari tubuhmu. Abi dan Ummi setuju, kita usaha hingga akhirnya. Doktor bilang lagi, nanti bila perutmu ditebuk kalau cecairnya jernih dialisis boleh dilakukan. Jika tidak, setakat itu sajalah usaha kita. Jam 5, doktor katakan dialysate sudah dipasang. Ummi lega. Jam 6, kami mahu pulang. Ummi mahu pam susu. Abi mahu mandikan Along dan Angah yang tertidur di bangku luar.
    Sayang,
    Abi, Ummi, Along dan Angah sedang beli air. Telefon Ummi berbunyi. Bergetar tangan Ummi, Ummi hulur telefon kepada Abi. Tak kuat rasanya menerima khabar. Abi pandang Ummi. “Doktor suruh naik, condition tidak baik”.
    Sayang,
    Ummi lihat tubuhmu di pembaringan. Doktor bius tunjukkan analisis darahmu. Makin berasid berbanding tadi. Dialisis tidak berjaya. Mr Hafiz pula bilang, tiada apa boleh dilakukan. Semua yang lain dikekalkan. Jika jantungmu berhenti, dia cadangkan kami biarkan saja.
    “He’s not gonna make it, CPR will just prolong another few hours, he’s not gonna make it. Kesiankan dia.” Mr Hafiz pandang tepat ke mata Ummi. Ummi angguk perlahan. Abi setuju.
    “You will see all the parameters reducing very fast, very fast” kata Dr Bius. “We have done our best. We are sorry.” Diambilnya tisu. Diberinya Abi Ummi duduk. Beberapa kali dia cuba tenangkan kami. Ummi bawa Along dan Angah masuk. Pertama kalilah itu, mereka menatapmu.

    “Pergilah sayang. Tunggu kami di sana. Ummi halalkan susu Ummi, Ummi halalkan semua”

    Sayang,
    Abi pegang dadamu. Ummi lihat wajahmu, “Pergilah sayang. Tunggu kami di sana. Ummi halalkan susu Ummi, Ummi halalkan semua”. Wajahmu yang merah menjadi kebiru-biruan, berubah kuning lalu putih. Mr Hafiz tunggu sehingga ke saat akhir. Dadamu masih berombak, tapi Ummi tahu sayang telah tiada.
    “Have a look on the screen. I am satisfied that he has pass his last breath. The breathing is artificial from the machine”. Ummi angguk. Jam sudah hampir 7.20.
    “Time of death, 7.06pm”
    Pergilah sayang, kami redha. Perjalanan rindu ini sudah bermula. Bermainlah dengan sepuasnya. Bergembiralah. Nanti kita bertemu kembali. Tariklah Ummi dan Abi, keluarga kita dan semua yang beri dokongan, sokongan, doa dan bantuan. Berkumpullah kita nanti dalam syurgaNya.
    Sayang, Ummi rindu. Rindu sekali.
    Ketemu lagi nanti Muhammad Uwais. Rindu Ummi sentiasa untukmu.
    Ummi Lily.
    Dalam pada itu, luahan daripada ayah kepada adik Uwais pula membuatkan kami bertambah sebak
    Assalamualaikum UwaisSetiap petang Abi akan ziarahi Uwais
    Tapi berbeza sekali petang ini
    Uwais sudah Abi hantar untuk berjumpa Allah
    Bergembiralah sayang
    Terima kasih Allah
    Kerana menghadirkan Uwais untuk Abi selama 38hari
    Terima kasih Allah
    Kerana meminjamkan Uwais untuk Abi buat sementara waktu
    Abi redha pemergianmu sayang
    Uwais akan Abi selalu kasih
    Uwais akan Abi selalu rindu
    Janji dengan Abi
    Uwais akan tunggu Abi, Ummi, Along Iman & Angah Furqan nanti
    Abi sayang Uwais
    Abi sayang Uwais
    Abi sayang Uwais
    Assalamualaikum sayang
    “Menulis bukan kerana nama
    Hanya cerita tentang rasa”
    Abi Iman Furqan Uwais
    28102015
    15Muharram 1437
    1717
    Sumber : Sayuti Wan Chik , Lily Moha/Ohbulan

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad