• Semasa

    Tak Pernah Baca Novel ‘Aku Bohsia’ – Luahan Syamsul Yusof


    Kuala Lumpur – Pelakon dan pengarah filem Syamsul Yusof hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah membaca dan memiliki novel “Aku Bohsia” sebelum penerbitan filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam”.
    Syamsul, 31, sebaliknya berkata beliau mendapat idea untuk menghasilkan skrip filem itu daripada isu semasa iaitu isu “mat rempit”.
    “Golongan bohsia sinonim dengan dengan dunia ‘mat rempit’, jadi dari situ idea bermula.
    “Idea diperoleh dari kisah yang pernah dipaparkan di media dan digabungkan dengan imaginasi kreatif saya sebagai penulis skrip, juga diambil dari kisah ‘typical’ remaja kota,” katanya menerusi pernyataan saksi dalam perbicaraan kes saman penulis novel Elias Idris terhadap Syamsul dan bapanya Datuk Yusof Haslam serta syarikat mereka berhubung dakwaan plagiat.
    Elias, 63, selaku plaintif menamakan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusof, 31, sebagai defendan pertama, manakala Md Yusof Md Aslam (Yusof Haslam), 61, sebagai penerbit filem berkenaan, defendan kedua dan syarikat Skop Production Sdn Bhd, defendan ketiga.
    Syamsul, yang diwakili peguam Aizul Rohan Anuar, berkata skrip filem itu ditulisnya bersendirian.
    Selain itu, beliau berkata penulisan Elias di dalam laman blognya mengenai terdapat 85 peratus persamaan cerita antara novel dengan filem merupakan fitnah untuk menjatuhkan air muka dan nama beliau serta bapanya.
    “Saya rasa marah kerana usaha saya dan ayah dipermainkan. Kami dengan susah-payah menghasilkan filem ini dan plaintif dengan senang-wenang mengatakan filem kami diciplak dari novelnya, sedangkan kami tidak pernah memiliki, mendengar dan membaca (novel itu) pada masa pembikinan filem,” katanya.
    Elias memfailkan saman terhadap Syamsul, Yusof dan syarikat Skop Production Sdn Bhd pada 24 Nov tahun lepas kerana didakwa meniru novel Elias itu dalam filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam” yang diterbitkan pada 2009.
    Menerusi pernyataan tuntutannya, Elias mendakwa beliau menulis novel itu pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita serta merupakan pemilik hak cipta terpelihara karya itu.
    Sehubungan itu, beliau menuntut satu deklarasi bahawa kesemua defendan telah melanggar hak cipta terpelihara plaintif sebagai penulis asal, memohon injunksi untuk melarang defendan menyiarkan semula filem itu dan satu perintah ganti rugi serta faedah.
    Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan 3 Dis ini untuk mendengar hujahan lisan, lapor Bernama.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad