Kasih Sayang Suami, Sanggup Sorong Isteri Lumpuh Bersama Cucu Sejauh 5 Kilometer Untuk Ke Hospital
Kasih Sayang Suami, Sanggup Sorong Isteri Lumpuh Bersama Cucu Sejauh 5 Kilometer Untuk Ke Hospital
Biarpun pengelihatannya agak terhad, itu bukanlah satu penghalang kepada seorang suami membuktikan cinta terhadap isterinya apabila dia sanggup menyorong isterinya yang lumpuh sejauh 5 kilometer dari rumah mereka di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar untuk ke hospital Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan susulan bagi penyakit tiroid dan asma.
Kehebatan suami ini telah menarik perhatian netizen apabila menjadi viral di laman sosial Facebook sejak semalam.
Alee Bohnah, 53, yang merupakan seorang warga Thailand yang menetap di negara ini sejak 30 tahun lalu yang terpaksa menyorong kerusi roda sambil isterinya, Che Pora Saad, 59, dan memangku cucunya, Mohd. Shafie Abdullah, 8, untuk mendapat rawatan di hospital menjadi bualan ramai.
Alee berkata, tindakan menyorong isterinya itu adalah untuk memastikan isterinya tidak terlepas temujanji dengan pihak hospital untuk membuat pemeriksaan darah dan dia tidak pernah merungut untuk berbuat demikian kerana selalu menyorong isterinya ke hospital atau ke mana saja
“Kami keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi semalam dan pada mulanya mahu menaiki teksi. Namun nasib tidak menyebelahi kerana tujuh hingga lapan buah teksi yang ditahan sudah ada penumpang selain ada teksi yang membawa muatan sehingga tiada ruang untuk meletakkan kerusi roda.
“Saya sudah biasa sorong isteri menggunakan kerusi roda ke HSB, namun biasanya ada pengguna jalan raya yang prihatin berhenti dan menghantar kami ke hospital. Dalam perjalanan semalam pun, ada pengguna jalan raya yang berhenti dan hantar kami ke hospital, perkara sama juga berlaku ketika kami mahu pulang ke rumah,” ujarnya dipetik Utusan Malaysia.
Menurut Alee, penglihatannya yang kabur itu menyebabkan dia tidak memiliki sebarang kenderaan kerana tidak boleh memandu.
“Jika saya ada wang, saya rancang untuk beli sebuah motosikal agar anak ketiga saya, Junaidah, 19, dapat menghantar ibunya ke hospital dan anak saudaranya ke sekolah,”katanya.
Tambahnya, dia sudah biasa berjalan kaki dalam jarak jauh kerana sering menghantar Mohd. Shafie ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Namun begitu, saya dan cucu kerap dibantu beberapa waris pelajar lain yang menghantar kami pulang ke rumah,” katanya lagi.
Beliau yang mempunyai lima orang anak berusia antara 16 hingga 28 tahun dengan dua daripadanya mengalami masalah pembelajaran dan seorang lagi mengalami penyakit lembam.
“Saya hanya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan berdekatan pasar borong di Jalan Gangsa dengan pendapatan RM30 sehari,” tambahnya.
Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut boleh menghubungi Alee di talian 012-5433410 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Alee Bohnah 02001-41-00002809-4 - Siakapkeli.my
No comments