• Semasa

    SAYU !! Tak Sempat Beli Nasi Lemak


    SAYU !! Tak Sempat Beli Nasi Lemak

    Alor Setar: “Saya rasa tidak sedap hati apabila anak lelaki yang keluar membeli nasi lemak di Taman Wira, Mergong tidak pulang walaupun hampir dua jam keluar dan ketika mencarinya, saya menemui topi keledarnya yang pecah akibat kemalangan.”

    Begitu kata Abu Bakar Md Isa, 60-an, bapa kepada Lokman, 26, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas motosikal Honda EX5 ditunggangi dirempuh sebuah kren dari belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Gangsa.

    Dalam kejadian jam 8.45 pagi, seorang lagi penunggang, Abdul Hamid Hussein, 63, pula disahkan meninggal dunia jam 9.45 pagi ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    Abu Bakar dari Kampung Telok Yan berkata, dia sedih kerana arwah seorang anak yang baik, malah sudah menjadi rutin hariannya keluar membeli nasi lemak untuk hidangan keluarga setiap pagi.

    Menurutnya, dia yang tidak sedap hati keluar mencari anak bongsu daripada lima beradik itu dan melalui lokasi kemalangan sebelum mengecam motosikal, kasut dan topi keledar Lokman yang pecah.

    “Saya kemudian membawa pulang topi keledar dan kasut Lokman pulang ke rumah dalam perasaan tidak tenteram, namun terkejut apabila anak Sarah, 34, memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan.

    “Kami terus ke HSB untuk melihat keadaannya tetapi dimaklumkan sudah meninggal dunia dan jenazahnya dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat,” katanya.

    Anak Abdul Hamid, Syuhada, 27, berkata, bapanya baru menghantarnya ke tempat kerja di Jalan Gangsa, jam 8.20 pagi sebelum arwah terbabit dalam kemalangan.

    Katanya, dia hanya mengetahui bapanya terbabit dalam kemalangan selepas dihubungi orang ramai dan bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa.

    “Saya mendapati keadaan kedua-dua kaki ayah sangat parah dan cuba menenangkannya sementara menunggu ambulans tiba.

    “Ketika itu, ayah dalam keadaan terduduk tetapi nampak tenang di atas jalan, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HSB mungkin disebabkan kehilangan banyak darah akibat kecederaan di kakinya.

    “Saya reda dengan kejadian ini dan menyifatkan arwah ayah seorang yang tegas kerana sanggup menghantar dan mengambil saya di tempat kerja setiap hari disebabkan bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

    Kedua-dua jenazah dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing, petang semalam untuk dikebumikan.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal, dua kereta jenis Perodua Viva dan Proton Wira serta sebuah kren. lapor myMetro.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad