• Semasa

    "Terima kasih tuan, moga makin murah rezeki tuan,"


    Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulilah saya dapat order 100 bungkus nasi lemak anak dara untuk pagi ini (semalam). Tetapi hamba Allah ini bagi amanah kepada saya untuk sedekahkan kepada sesiapa yang singgah di gerai saya pagi tadi. 


    Hanya dalam masa 50 minit, licin semua jualan. Alhamdulillah, rezeki Allah. Mesti ramai yang nak tahu kisah hidup saya dan macam mana saya boleh buka gerai nasi lemak anak dara kan? 

    Okay, sebelum itu saya ceritakan latar belakang saya dulu. Nama penuh saya, Siti Hajjar binti Ahmad, berusia 24 tahun, anak ketiga dari lima beradik. Tinggal di Sungai Petani, Kedah. Saya degree, fresh graduate Electronic Engineering (Medical Electronic) dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan inshaAllah Oktober ini saya akan konvo dengan beralaskan CGPA 3.33. 

    Saya sebenarnya baru merantau dan tinggal di Shah Alam sudah hampir 3 minggu. Alasan saya tinggal di sini sebab selalu dapat interview dan bagi saya lebih elok saya menetap di sini terus. Alhamdulillah selepas saya membuat keputusan itu, saya terus mendapat tawaran kerja sebagai Cost & Design Engineer di Subang Jaya, tetapi akan mula bertugas pada bulan September kelak.

    Saya sebenarnya langsung tidak merancang untuk berniaga. Tiba-tiba ilham datang untuk buka gerai nasi lemak. Lagipun hobi saya memasak, jadi lebih baik saya gunakan kelebihan saya itu daripada membazir masa dengan benda yang tidak berfaedah. Bagi saya, berniaga ini sangat enjoy dan salah satu sunnah Nabi. 90% pintu rezeki itu adalah daripada perniagaan.

    Saya datang ke Shah Alam ini memang tak bawa apa-apa dari Kedah. Tetapi kain baju itu semua bawalah. Hehe! Dengan berbekalkan semangat yang ada, saya cuba berdikari untuk mencari rezeki sendiri. Bagi saya, saya sudah mampu untuk menguruskan soal diri sendiri tanpa menyusahkan mak atau keluarga saya. Saya akan bangga kalau dapat menunaikan permintaan arwah ayah saya untuk tengok saya berjaya. 

    Tentang mak saya, memanglah dia risau saya datang ke sini sebab saya anak perempuan, macam-macam boleh terjadi. Tetapi inshaAllah atas berkat doa seorang ibu, saya akan berjaya juga satu hari nanti. Terima kasih mak. 

    Kata Datang Bawa Pakaian Saja, Mana Datang Modal Berniaga?

    Okay, mesti korang pelik bagaimana saya dapat modal sebab tadi kata datang ke Shah Alam tak bawa apa-apa kan? Saya memang ada bisnes brand shawl saya sendiri, Qaseh Stalista.  Tetapi saya saya simpan duit dari bisnes shawl saya itu untuk bisnes baru. Saya dapat modal buka gerai nasi lemak anak dara pun dari teman rapat saya. Mujur dia boleh tolong saya bagi modal. 

    Asal Kedah, Tetapi Kenapa 'Promote' Nasi Lemak Dalam Bahasa Kelantan?
    Korang tak pelik ke macam mana saya boleh tulis bahasa Kelantan "Nasi Murah, Hargo Pecoh Palo!"? Sebabnyo kawe meme fasih kelate. Hok mano ore kelate tu, boleh jah nak kecek kelate ng kawe. Kawe pehe belako demo oyak. Haha! Lagi satu, ore kelate banyak nego sebab tu kawe suka juga. 

    Okay, selepas itu saya pun mulalah beri barang semua. 100% saya buat semuanya sendiri termasuklah memasak. Berbekalkan ilmu memasak yang saya belajar dari mak, saya masak semuanya sendiri. 


    Saya sebenarnya berniaga di tepi simpang ini pun seorang diri. Adakalanya kawan-kawan datang temankan. Masuk hari ini merupakan hari keempat saya berniaga. Sepanjang saya berniaga, memang tak cukup tidur sebab nak siapkan semua makanan. Tetapi disebabkan customer kesayangan semua, saya sanggup korbankan utnuk memuaskan hati customer. Saya paling suka bila orang suka makan masakan saya. InshaAllah saya akan sentiasa memperbaiki skill saya. 

    Selesai berniaga nasi lemak itu, saya terus kemas barang dan balik ke rumah di tingkat paling atas, flat PKNS. Tetapi jangan risau, inshaAllah saya kuat dari segi mental dan fizikal. Nampak saja kecil dan lembut, tak semestinya tak boleh buat kerja berat seperti itu. Saya rasa semua orang boleh buat, nak atau tak nak saja kan.

    Nasihat saya kepada sesiapa yang mahu berjaya, anda perlu berusaha. Jangan hiraukan apa yang orang cakap tentang kita asalkan apa yang kita buat itu di bawah keredhaan Allah. 

    Bisnes Sekejap Atau Berterusan?

    InshaAllah akan berterusan sampai bila-bila sebab saya ada perancangan nak buka kedai sendiri. Jadi selepas ini korang bolehlah rasa dan terus makan di kedai nasi lemak anak dara itu terus. Tetapi inshaAllah bila saya dah cukup modal nanti, saya akan buka dan maklumkan kepada korang. 

    Bagaimana Dengan Tawaran Di Subang Jaya? 

    InshaAllah dalam proses buat solat istikharah untuk meminta petunjuk yang mana sesuai. Tetapi jangan risau, nasi lemak anak dara sentiasa ada setiap hari, cuma akan tutup bila cuti sahaja. Kalau gerai saya tutup, saya akan informkan di Facebook saya ya.

    Setakat ini sajalah kisah hidup saya sebagai gadis penjual nasi lemak anak dara. Harap dapat menjadi sumber inspirasi untuk mereka yang lain untuk terus berjaya. Tiada dalam dunia ini semua kerja senang, asalkan kita usaha dan terus berusaha sampai berjya. Yang penting doa, doa senjata umat Islam sebab Allah yang beri kita rezeki dan kawal semua yang kita buat. - Siti Hajjar Ahmad | PIXEL MEDIA

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad