• Semasa

    Apakah Hukumnya Menanam Gigi Palsu Yang Kekal? Perlukah Mencabutnya?

    Soalan:
    Assalamualaikum, saya mendapat soalan dari pelajar mengenai menanam gigi palsu. Apakah hukumnya menanam gigi palsu yang kekal? Perlukah mencabutnya?
    Jawapan:
    Berkata Syeikh Soleh Munajid :
    تَركِيبُ أَسنَانٍ صِنَاعِيةٍ مَكَانَ الأَسنَانِ المَنزُوعَةِ لِمَرَضٍ أَو تَلَفٍ أَمرٌ مُبَاح لَا حَرَج فِي فِعلِهِ ، وَلَا نَعلَمُ أَحَدًاً مِن أَهلِ العِلمِ يَمنَعُهُ ، وَلَا فَرقَ بَينَ أَن تثبت الأَسنَان فَي الفَمِّ أَو لَا تثبت ، وَيَفعَلُ المَرِيضُ الأَصلَحُ لَه بِمَشُورَة طَبِيبٍ مُختِص .
    “Memasang gigi buatan sebagai pengganti gigi yang dicabut karena sakit atau karena rosak, adalah sesuatu yang dibolehkan tidak apa-apa untuk dilakukan. Kami tidak mengetahui seorangpun dari ulama yang melarangnya. Kebolehan ini berlaku secara umum, tidak dibezakan apakah gigi itu dipasang kekal atau tidak, yang penting bagi pesakit memilih yang sesuai dengan keadaannya setelah meminta pendapat kepada doktor spesialis.”
    Ulasan Lanjut:
    Penggunaan gigi palsu sama ada yang kekal atau tidak hukumnya harus selama mana tujuan pemakaiannya untuk kemudahan makan dan kesihatan. Adapun tegahan mengasah gigi dan menjarangkan gigi pula adalah kerana perbuatan itu mengubah ciptaan Allah dan hanya bertujuan untuk kecantikan. Disebutkan dalam sebuah hadis :
    ( لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى ) رواه البخاري (5931) ومسلم (2125) .
    “Allah melaknat perempuan yang mentato dan minta ditato, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya dan yang menjarangkan giginya UNTUK TUJUAN KECANTIKAN, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Al-Bukhari)
    Imam Ibn Hajar Al-Asqolani ketika mensyarahkan hadis ini berkata :
    فْهَم مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَة مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْن فَلَوْ اِحْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ
    Difahami dari hadis, tindakan itu tercela dan haram bagi sesiapa yang melakukannya untuk kecantikan, namun sekiranya ia memerlukan disebabkan oleh perubatan contohnya, ia adalah diharuskan.
    Kita maklum memakai gigi palsu adalah satu keperluan memandangkan gigi sentiasa digunakan untuk mengunyah makanan agar mudah dihadam. Ia sangat mempengaruhi kesihatan seseorang dan kualiti hidup seseorang.
    Memakai gigi palsu tidak dianggap mengubah ciptaan ALLAH kerana pada asalnya gigi tersebut wujud. Kemudian rosak. Memakainya pula satu keperluan kesihatan. Pernah seorang sahabat menggantikan hidung yang terpotong dengan emas.
    عَنْ عَرْفَجَةَ بْنِ أَسْعَدَ قَالَ أُصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الْكُلَابِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيَّ فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ
    Dari Arfajah bin As’ad ia berkata: “Ketika terjadi perang Al Kulab pada masa Jahilliyah hidungku terluka, lalu aku menggantikan hidungku dari perak, tetapi justeru hidungku menjadi busuk. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar aku membuat hidung dari emas.”(HR. Tirmidzi, Abu Daud, dan hadis ini Hasan)
    Hadis ini walaupun membincangkan masalah menggantikan hidung dengan emas dan perak dalam keadaan darurat atau keperluan, tetapi boleh dijadikan dalil dalam menggantikan gigi dengan perak, emas dan sebagainya , jika memang diperlukan, kerana kedua-duanya adalah anggota tubuh.
    Akhukum Mohd Hazri al-Bindany
    Pembimbing Majlis Ta’lim Darul Muhajirin

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad